Keturunan Raja Jembal Sejarah Kelantan

Kerajaan Jembal ialah sebuah kerajaan yang memerintah di Hilir Kelantan yang diasaskan oleh keturunan raja Champa. Negeri Champa dari kurun ke 14 hingga kurun ke 19 berperang menentang penjajahan Vietnam (dinasti Nguyen) dari utara. Vietnam mempunyai hubungan rapat dengan budaya China tetapi Champa pula lebih dekat dari segi budaya, bahasa dan agamanya dengan Melayu sehingga digelar Melayu Champa. Ramai penduduk negeri Champa berundur ke Kelantan setelah satu persatu kota meraka jatuh ke tangan Vietnam seperti kota Vijaya dan Inderapura. Kota terakhir Champa yang jatuh ke tangan Vietnam ialah kota Panduranga iaitu bandar Ho Chin Minh sekarang. Penghijrahan beramai-ramai orang Melayu Champa ke Kelantan menyebabkan terbinanya pengkalan/pelabuhan yang diberi nama Pengkalan Champa iaitu Pengkalan Chepa sekarang. Orang Champa inilah yang mengasaskan kerajaan Jembal. Bapa kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz Menteri Besar Kelantan, AImarhum Haji Nik Mat bin Raja Banjar adalah daripada keturunan Raja Jembal yang memerintah negeri Kelantan dalam kurun ke- 16. Keturunan Raja Jembal ini masih ramai lagi di negeri Kelantan, terutama sekali di Kota Jemba (Kedai Lalat), Pulau Melaka, Binjai dan beberapa buah kampung lain di dalam jajahan Kota Bharu.

Sejarah Raja Jembal

Sejarah Raja Jembal telah ditulis oleh Almarhum Dato' Perdana Menteri Paduka Raja Nik Mahmood Nik Ismail (ayah Tan Sri Nik Ahmad Kamil dan Tan Sri Haji Nik Mustapha Fathil) sebelum Perang Dunia Kedua. Buku sejarah Raja Jembal yang ditulisnya telah dijadikan buku bacaan ilmu sejarah bagi sekolah-sekolah Melayu di Kelantan sebelum Perang Dunia Kedua. [perlu rujukan]

Asal-usul

Antara ahli kerabat Raja Jembal yang terkenal ialah Puteri Saadong, anak angkat Cik Siti Wan Kembang yang memerintah di bahagian Hulu Kelantan pada waktu itu.

Asal-usul atau salsilah keturunan Raja Jembal ini bermula daripada seorang kerabat diraja Kedah bernama Raja Bersiong yang telah singgah lalu kemudiannya terus menetap di Kedai Lalat, kira-kira 10 kilometer dari Kota Baharu. Raja Bersiong ini dikatakan membawa dua orang anak angkat yang bernama Raja Sakti dan seorang lagi bernama Tuan Puteri Mani Kemian. Ada cerita yang mengatakan bahawa Raja Sakti itu berasal dari 'buluh betung' dan Tuan Puteri Mani Kemian itu terbit dari 'buih'. Dan ekoran daripada cerita dongeng itulah menyebabkan anak cucu Raja Jembal tidak memakan sayur buluh betung yang menjadi makanan kegemaran orang Melayu sejak dulu hingga sekarang.[perlu rujukan]

Tetapi fakta tentang cucu-cicit Raja Jembal zaman sekarang sudah dikaburi dengan cerita yang dianggap dongeng dan sudah tidak percaya lagi dengannya. didapati kini tiada lagi keturunan Raja Jembal itu yang percaya dengan dongeng yang mengatakan asal-usul nenek moyang mereka dari buluh betung dan buih.

Cerita yang mengatakan bahawa Raja Sakti itu keluar dari buluh betung dan Tuan Puteri Mani Kemian itu keluar dari buih hanyalah rekaan dan khayalan penulis sejarah yang tidak begitu arif tentang sejarah dan salasilah Raja Jembal. Walau bagaimanapun, dikatakan terdapat wasiat daripada Raja Bersiong yang tidak membenarkan anak cucunya memakan sayur buluh betung dan tidak membenarkan anak cucunya membuat alat-alat rumah atau alat-alat pertanian dan lain-lainnya daripada buluh betung. Anak-anak cucu Raja Jembal juga tidak digalakkan memakan sejenis ikan bernama ikan sekacang.

Keturunan Raja Jembal

Sejarah keturunan Raja Jembal itu bermula daripada perkahwinan Raja Sakti dengan Puteri Mani Kemian, kedua-duanya anak angkat Raja Bersiong. Setelah kemangkatan Raja Bersiong, Raja Sakti telah dilsytiharkan sebagai raja yang berdaulat di sekitar Kedai Lalat dan beberapa daerah lain di Kelantan. Hasil daripada perkahwinan Raja Sakti dengan Puteri Mani Kemian itu lahirlah Raja Loyor, Raja Umar, Raja Bahar dan beberapa orang putera dan puteri lagi.

Keturunan Raja Jembal yang ada sekarang ini ialah cucu cicit kepada Raja Sakti dan Puteri Mani Kemian.[perlu rujukan] Menurut Cikgu Tuan Mat,[nyatakan menurut siapa?] pemerintahan Raja Jembal di Kelantan berakhir setelah kemangkatan Raja Kecil Sulung (putera Sultan Omar) pada tahun 1725. Setelah kemangkatan Raja Kecil Sulung, satu perebutan kuasa telah berlaku antara puteranya Raja Kecil Sulong iaitu Raja Abdul Rahman dengan adinda Raja Kecil Sulong iaitu, Raja Pah yg bernikah dgn Long Bahar putera Datuk Pengkalan Tua Raja Jambu Patani).

Akibat daripada perebutan kuasa itu, Raja Pah yang mempunyai hubungan besan dengan Bendahara Tuan Dagang telah berkomplot dan menyebabkan Raja Abdul Rahman tersingkir daripada takhta pemerintahan kerajaan sekaligus telah berjaya untuk Raja Pah mengangkat suaminya Long Bahar itu yang bukan daripada keturunan dinasti Raja Jembal menaiki takhta pemerintahan kerajaan Kelantan dengan bergelar Tuan Besar. Walaupun pemerintahan Dinasti Raja Jembal keatas negeri Kelantan telah berakhir, namun kesan sejarahnya masih wujud dengan adanya makam Raja Loyor, makam Raja Omar dan makam Raja Bahar yang telah dibaiki dan dibina semula oleh pihak Muzium Negara dalam tahun 1970an. Makam-makam ini terletak di sekitar Kedai Lalat.

Sekolah

Sebuah sekolah menengah di Kedai Lalat telah diberi nama Sekolah Menengah Raja Sakti dan sebuah sekolah rendah di pekan yang sama diberi nama Sekolah Kebangsaan Raja Bahar.

Lokasi

Dikatakan yang kerabat keturunan Raja Jembal kini berada di sekitar Kedai Lalat, Pulau Melaka, Sering dan di daerah-daerah lain di Kelantan dan masih lagi menggunakan bahasa diraja atau bahasa istana dalam pertuturan antara sesama mereka.Perkataan 'ku', 'patik', 'kanda', 'bonda', 'ayahanda', 'berangkat', 'cerat', 'mangkat' dan sebagainya masih digunakan oleh keturunan Raja Jembal walaupun kini mereka hanyalah rakyat biasa yang tinggal di beberapa buah kampung di Kelantan. Ini bererti bahawa pengaruh diraja dan istana masih tebal di kalangan cucu-cicit Raja Jembal yang masih hidup sekarang walaupun mereka telah dipisahkan dari istana sejak tiga abad yang lalu. Perkembangan masa telah membawa anak cucu keturunan Raja Jembal merantau keseluruh negeri di Malaysia Barat, khususnya Kuala Lumpur.[perlu rujukan]

Komuniti

Persatuan Kebajikan Keluarga Raja Jembal telah pun ditubuhkan dan mendapat restu daripada Persatuan Kerabat Diraja Kelantan. Persatuan Kebajikan Keluarga Raja Jembal sekarang mula ditubuhkan oleh Allahyarham YM Raja Mahmud bin Raja Mamat, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Limbongan, Exco Pertanian Kelantan Darul Naim pada masa Barisan Nasional memerintah Kelantan dulu dan Naib Ketuanya ialah Cikgu Tuan Mat bin Raja Kechik.

Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat juga telah dilantik sebagai penasihat kepada Persatuan Kebajikan Keluarga Raja Jembal ltu. Pihak Kerabat Diraja Kelantan telah diberitahu tentang perlantikan itu. Ini tidak bermaksud untuk mengulas secara panjang lebar tentang kisah dan sejarah Raja Jembal, tetapi hanya sekadar untuk mengaitkan serba sedikit riwayat tentang datuk nenek Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz dan keluarganya sebagai berketurunan daripada Raja Jembal yang masyhur dalam sejarah negeri Kelantan. Datuk sebelah bapa kepada Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz masih lagi menggunakan panggilan 'raja', iaitu Raja Banjar.

Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz mengingati suatu perkara tentang almarhum datuknya ini. Raja Banjar bukanlah orang kaya walaupun memiliki banyak tanah. Mengikut Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz, datuknya suka merantau meninggalkan rumah sehingga satu atau dua minggu. Apabila beliau pulang, dikerjakannya tanah dengan menanam kelapa dan getah secara bersungguh-sungguh bagaikan menggantikan masa kerjanya yang telah terbuang disebabkan merantau itu.[perlu rujukan]